Tunku Isytihar Tarikh Kemerdekaan Di Melaka
Oleh Noor Azmi Hamdan Dan Nasarudin Omar
MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Melaka, negeri bersejarah, merupakan tempat di mana Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956.
Melaka dipilih bagi tujuan itu kerana di negeri itulah kuasa-kuasa asing mula bertapak sebelum mereka menguasai seluruh Tanah Melayu.
Melaka, yang dianggap sebagai pelabuhan penting dan terletak di kedudukan strategik di tengah-tengah laluan perdagangan timur-barat, ditawan Portugis pada 1511 dan pada 1641 ia jatuh ke tangan Belanda. Pada 1824 ia diambil alih oleh Britain melalui satu perjanjian dengan Belanda dan ini membuka laluan bagi Inggeris menguasai seluruh Semenanjung.
Dengan itu mesyuarat tergempar Umno di Kuala Kangsar pada 13 Januari 1956 menetapkan negeri itu sebagai lokasi untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan.
Tarikh 20 Februari 1956 itu amat besar maknanya bagi rakyat Persekutuan Tanah Melayu kerana buat pertama kali mereka dapat menarik nafas lega mengetahui tanahair mereka berjaya mendapatkan kemerdekaan.
Pengumuman tarikh kemerdekaan itu dibuat di Padang Bandar Hilir di sini yang kini telah ditukar namanya kepada Padang Pahlawan.
DETIK-DETIK KE ARAH PENGUMUMAN BERSEJARAH ITU
Pada 1 Januari 1956, rombongan Perikatan yang terdiri daripada Tunku, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun H S Lee, T. H. Tan dan Abdul Kadir Shamsudin menaiki kapal MV Asia di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura, untuk Ke London.
Rundingan berlangsung selama tiga minggu iaitu dari 18 Januari hingga 8 Februari dan pada 11 Februari perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu ditandatangani.
Rombongan itu telah berlepas pulang dari London pada 16 Februari dan tiba di Singapura pada tengah malam 19 Februari.
Keesokan harinya, rombongan itu telah berlepas ke Melaka di mana satu sambutan besar-besaran menunggu mereka di Lapangan Terbang Batu Berendam dan sambutan lebih besar menunggu mereka di Padang Bandar Hilir.
Dari Lapangan Terbang Batu Berendam di sini, Tunku bersama rombongannya diarak dengan kereta menuju padang itu untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.
Bersama Tunku dalam kereta adalah Datuk Panglima Gantang Abdul Wahab Abdul Aziz dan Abdul Aziz Majid dan di sepanjang perjalanan, ribuan rakyat berbaris di kiri dan kanan jalan sambil bersorak gembira dan melaungkan \"merdeka\".
PADANG BANDA HILIR SESAK
Menurut seorang veteran Umno, Datuk Wira Borhan Md Yaman, 77, yang hadir pada perhimpunan itu, dianggarkan 100,000 orang berhimpun di Padang Pahlawan menunggu ketibaan Tunku.
\"Mereka datang dengan kereta buruk, tidur di masjid, surau, mana-mana saja dan masa itu di padang banyak pokok yang besar-besar, di situ mereka tidur...orang terlampau gembira,\" katanya.
Beliau berkata orang dari Singapura pun datang termasuk rombongan Umno yang dipimpin Datuk Abdul Hamid Jumat.
Borhan berkata mereka berhimpun di situ kerana terlalu gembira dan tidak menyangka rombongan Tunku berjaya memperolehi kemerdekaan daripada kerajaan British.
Mengenangkan detik-detik bersejarah itu, Borhan terhenti seketika berbicara kerana sebak.
\"Dia orang datang, pertama gembira, kedua \"tak sangka\" rombongan Tunku begitu berjaya, ramai parti pembangkang kata, cabar, tak yakin...Alhamdulillah dengan izin Allah kita berjaya (merdeka),\" kata Borhan yang juga Tokoh Guru Kebangsaan.
TUNKU UMUM TARIKH KEMERDEKAAN
Di tengah suasana kegembiraaan 100,000 rakyat yang berhimpun di padang itu Tunku mengumumkan bahawa menurut persetujuan yang dicapai di London, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Tunku sambil menjulang Keris Pukal yang berusia seratus tahun, dihadiahkan oleh wakil kaum ibu, berteriak \"merdeka\" di tengah-tengah ribuan rakyat.
Ia disambut dengan laungan merdeka yang bergema di setiap sudut padang itu.
Kelihatan di sebelah Tunku semasa itu ialah Tun Abdul Ghafar Baba selaku Pengerusi Rapat Umum pada hari itu.
Pada ketika itu, Ketua Umno Singapura menyampaikan peta Malaya kepada Tunku.
Tun Abdul Razak menandatangani dokumen pengumuman tarikh kemerdekaan serta disaksikan oleh Setiausaha Agung Umno ketika itu, Senu Abdul Rahman. Turut menandatangani dokumen itu ialah Tun Dr Ismail.
TUN GHAFAR MERANCANG PERSIAPAN BESAR-BESARAN
Datuk Panglima Bukit Gantang yang mewakili Raja-Raja Melayu yang menuntut kemerdekaan di London turut berucap di majlis itu dan begitu juga dengan V.T. Sambanthan yang mewakili MIC dan Leong Yew Koh yang mewakili MCA.
Ucapan Tunku disiarkan secara langsung melalui Radio Malaya.
Tunku juga menyatakan penghargaan kepada semua penduduk Tanah Melayu yang telah memberi sokongan penuh sehingga tercapainya persetujuan kemerdekaan Tanah Melayu.
Selepas 50 tahun, pada 2006, kerajaan Melaka sebagai mengenang peristiwa bersejarah itu memutuskan untuk mengadakan sambutan memperingati tarikh pengisytiharan kemerdekaan negara pada setiap tahun dengan melakonkan semula peristiwa itu.
Dan tahun ini sambutan itu pasti lebih bermakna kerana genap 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.
-- BERNAMA
|